Sunday, March 6, 2011

Tok Nin sudah tiada.

Barangsiapa yang mengenali dia pasti tiada apa yang buruk ingin diceritakan melain kan fitnah liar yang ditiup dikampung. Orangnya hitam manis, kurus dan selalu mengukir senyum. Hatinya jernih kerana apa yang dirasa akan dikongsi baik marah, suka, kurang faham, atau prasangka. sejak balik aku selalu juga meluangkan masa untuk mendengar dan juga menziarahinya.

Kematiannya adalah kematian yang dia sendiri nanti nantikan. Sejak aku masih di Sudan dia menyebut ttg kematiannya. Sekembalinya aku dia sambut dengan peluk cium. Dia sangat gembira di hari perkahwinanku. Dia bahagia kadangkala aku rasakan dia lebih bahagia dari kami. Tetapi semua ini tidakku sedari melainkan setelah dia pergi. Masih ingat ketika dia menyambut Aliyah sebaik kami tiba sampaikan aku tidak sempat menyalaminya. '' Huduhnya cicit nek ni!" itulah ayat pertamanya . Berkali kali dia menyebut ingatkan tak dan jumpa dah. Pada masa itu aku sudah biasa dengan ayat itu. Ya sejak bertahun, itulah ayat di bibirnya denganku.

Dia mati tanpa harta melainkan beberapa ratus ringgit yang telah diagihkannya kepada anak-anak perempuannya yang dekat. Tiada tanah untuk direbutkan tiada barang kemas yang boleh digadaikan. Dia habis umur dengan ungkapan La Ilaaha Illa Allahu. Dia minta untuk mati di rumah tetapi Allah megambilnya di hospital. Dari rumah Pak Long Pak Su bawa ke rumah Ayah lantas di tahan di wad. Sakitnya pada jantung yang sejak 75 tahun tiada masalah.

Alhamdulillah pengebumiannya lancar dan jenazahnya disolatkan oleh ramai lelaki yang mengenali ataupun tidak. Kebetulan yang disusun oleh Allah semasa menyolatkan jenazahnya orang tengah berkumpul untuk akad nikah dan yang terbaik mereka ini bermazhab hanafi yang sangat pentingkan solat dan terutamanya masalah solat jenazah. Ada di kalangan mereka yang turut mengebumikan jenazah inilah rezekinya. Husnul Khatimah. Tiada kenduri Arwah di rumahnya. Tiada tahlil berturut-turut. Anak-anak kesayangnannya tidak bermurung kerana mereka telah redha telah yakin dia lebih bahagia di alam barzakh seterusnya  akhirat. Dia memelihara 3 anak perempuan yang selamat dari dosa besar sampai dia tiada. Dia mentaati suami dalam hal yang dia suka atau dia duka.

Dialah isteri terbaik yang pernah aku kenali. Sangat sempurna layanannya pada t0k wan. kini yang tinggal hanyalah kenangan Tidak pernah tok wan bercerita ttg zaman mudanya selain setelah kematian tok Nin. Tokwan cerita tentang nenek moyang kami. Tokwan cerita tentang zaman jepun, komunis , british. Tokwan sangat merasakan kehilangan isterinya. Pilu pada melihat tokwan bermenung lebih dalam dari pilu menyambut tok Nin dalam liang kubur semalam. Akulah waris tunggul yang mengiringinya sampai ke dalam liang. Dia menanti aku untuk kembali sehinggalah aku yang diberi kekuatan oleh Allah untuk mengiringnya sampai terakhir. Aku yang terakhir mencium dahi, hidung dan dagunya. Aku menahan tangis sehingga saat ini. Aku benar benar redha akan kematian ini.

Yakinlah adik-adikku tok kita orang yang baik tidak pernah syirik pada Allah, tiada hasad dalam jiwanya, tiada harta orang diambilnya bahkan hartanya juga diambil orang. Kalaulah bercerita tentang rahmahnya pada binatang cukuplah kisah dia membela ayam dan bersembang dengan mereka. berleter kepada mereka mengajar mereka makan baik baik, jangan merampas atau mencuri hak orang. Sayang dia pada anak cucu sangat dalam.

Ketika tok masih hidup dia selalu bercerita dan mendoakan kebahagiaan kita. kini dia telah pergi meninggalkan seorang suami dua anaknya sebagai janda, seorang anak perempuan dan 4 lelaki serta hampir 50 cucu dan cicit.